BALING – Jiran kepada Sabari Baharom, 62, pernah bertemu suspek kerana dia menjalankan kerja-kerja pembinaan rumah milik anak saudaranya yang terletak 100 meter dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, di sini.
Menurut Mohd. Sukeri Karim, 61, suspek yang merupakan kontraktor pernah datang ke rumahnya untuk berkenalan ketika mahu memulakan pembinaan kediaman tersebut pada tahun lalu.
“Anak saudara saya pernah bawanya sekali sahaja ke rumah masa mula-mula nak buat rumah itu. Saya nampak dia okey sahaja, nampak baik juga, tetapi tidak sangka boleh jadi macam itu.
“Selepas itu saya tak pernah jumpa dia, cuma nampak kereta dia sahaja dari jauh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, katanya, kali terakhir dia bertemu Sabari adalah kira-kira pukul 6.30 petang, 3 September lalu di pintu pagar rumahnya.
“Selepas itu saya tidak lagi berjumpa Sabari sebelum dia dilaporkan hilang dalam tempoh lama seterusnya dikatakan dicampak ke dalam sungai,” ujarnya.
Menurutnya, pada malam kehilangan Sabari, dia tidak mendengar sebarang bunyi mahupun melihat pergerakan mencurigakan.
Sementara itu, katanya, dia dan isteri ketakutan dan trauma selepas insiden tragis menimpa Sabari yang mana rumahnya dengan kediaman Sabari adalah paling hampir iaitu kurang 50 meter.
“Sehubungan itu saya dan keluarga bimbang juga dengan keselamatan kami setelah apa yang berlaku sehingga anak-anak bercadang untuk memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di sekeliling rumah sebagai langkah keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE