fbpx

Simpanan pesara guru lebih RM200,000 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer, seorang pesara guru berputih mata kehilangan RM218,900 simpanan Tabung Haji dan wang pencennya baru-baru ini.

Wanita berusia 62 tahun itu yang menyedari tertipu setelah mendapati akaun banknya cuma berbaki RM100 telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.32 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang menetap di Chendering di sini telah dihubungi suspek yang menyamar pegawai sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor pada 31 Ogos lalu.

“Suspek mendakwa kononnya mangsa mempunyai tuntutan insurans perubatan berjumlah RM68,800.

“Mangsa yang menafikan tuntutan itu telah diminta untuk membuat laporan polis kononnya berhubung penyalahgunaan data peribadi untuk kesalahan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan pesara guru tersebut membuka sebuah akaun bank kononnya bagi kegunaan pemantauan Bank Negara pada 24 September lalu.

Tambah beliau, mangsa seterusnya diarahkan untuk memindahkan simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM201,900 ke akaun bank berkenaan.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuka akaun deposit tetap dengan simpanan RM5,000.

“Mangsa menurut arahan itu telah melakukan 20 transaksi memindahkan simpanannya ke dalam akaun-akaun bank terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI