MELAKA – Pengguna Jalan Syed Abdul Aziz berhampiran Jalan Melaka Raya di sini cedera gara-gara cuba mengelak lubang sedalam 1.7 meter yang muncul secara tiba-tiba selepas pembetung dipercayai pecah hari ini.
Seorang penghantar makanan, Izzat Irsyaduddin Daud, 36, berkata, dia yang menggunakan laluan itu hampir setiap hari turut mengalami luka di kaki ketika cuba mengelak lubang tersebut.
“Dalam pukul 11 pagi, saya dalam perjalanan menghantar pesanan makanan, masa itu tiada kon atau penghadang yang diletakkan di kawasan itu. Bila sudah dekat baru saya perasan ada lubang besar.
“Saya cuba mengelak namun terlanggar tebing menyebabkan kaki saya luka. Sebelum itu ada pengguna lain cedera dan sudah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Tambahnya, selesai membuat penghantaran, dia segera memaklumkan kemunculan lubang besar itu kepada pihak polis sebelum berpatah balik ke lokasi untuk meletakkan kon keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamed Salzeli Mokhtar turut berada di lokasi untuk membuat pemeriksaan keselamatan di laluan tersebut.
Jelasnya, lubang sepanjang 3.5 meter dengan lebar satu meter itu bukannya berlaku disebabkan mendapan tanah, tetapi pembetung kekotak yang pecah dipercayai akibat kenderaan berat yang melalui kawasan tersebut.
“Kejadian ini berlaku kerana kegagalan pembetung di tapak berpunca daripada (kenderaan) muatan yang lebih melalui jalan ini.
“Bagi penyelesaian segera kita akan membuka laluan kontra dan mengehadkan muatan sehingga 10 tan bagi jangka masa panjang satu permohonan peruntukan segera dibuat kepada Ibu Pejabat JKR untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan kekal dilakukan,” katanya.
Terdahulu, kemunculan lubang itu turut tular di media sosial yang mendakwa lubang itu berpunca daripada tanah mendap atau ‘sinkhole’ di kawasan tambak berusia lebih 40 tahun itu.-KOSMO! ONLINE