fbpx

Penganggur tikam pereka dalaman 20 kali didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Wah Siong ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. Foto oleh Ahmad Iqbal Rosli/Kosmo!

PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman yang maut ditikam 20 kali di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara di sini bulan lalu.

Lim Wah Siong, 50, mengangguk tanda faham namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Pengakuan tidak direkodkan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan Wah Siong didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar ,36, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pukul 9 malam pada 14 September lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 November ini bagi sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo! pada 16 September lalu melaporkan seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam 20 kali dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 1 pagi tadi.

Katanya, jiran mangsa membuat laporan selepas merasa bimbang sekiranya terjadi sesuatu kepada mangsa setelah didengari bergaduh dengan individu tidak dikenali.

Menurut beliau, kejadian di dengari bergaduh itu berlaku sekitar pukul 11 malam dan pengadu tidak melihat mangsa keluar dari kediaman selepas kejadian itu.

“Sepasukan polis bertindak ke lokasi kejadian dan menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Jelas beliau, terdapat kesan tikaman dipercayai dilakukan individu yang masih belum dikenal pasti.

Hasil semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pereka hiasan dalaman rumah, tinggal sendirian dan baru sahaja membeli kediaman itu tahun lepas.

Sebanyak 20 tikaman dikesan antaranya di bahagian rusuk (lima kali), kepada (enam kali) dan pergelangan tangan (sembilan kali).

Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermula dengan kejadian pecah rumah sebelum menjadi samun dan menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI