fbpx

Pelajar tingkatan 5 maut motosikal ‘bergulung’ bawah SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok di bawah Honda CRZ dalam kejadian di Jalan Dato Mat Zin, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang pelajar tingkatan lima maut ketika dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal yang dia tunggang bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Dato Mat Zin, Batu Berendam, di sini pada awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y110 dalam perjalanan dari arah Taman Merdeka menghala ke sekolah berkenaan.

“Sebelum kejadian terdapat sebuah kenderaan SUV Nissan X Trail yang dipandu lelaki berusia 40 tahun hendak masuk ke simpang di sebelah kanan jalan menghala kedai bengkel kereta.

“Mangsa dari arah belakang cuba memotong kenderaan itu di laluan garisan berkembar, namun telah bergesel dan menyebabkan motosikalnya terbabas ke arah bertentangan di kanan jalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam waktu yang sama sebuah kereta jenis Honda CRZ dipandu lelaki berusia 41 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak mangsa lalu menyeret pelajar berkenaan ke arah kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkatan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI