KUALA LUMPUR – “Jika benar untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi seperti menghubungi secara terus.”
Demikian kata bekas gitaris kumpulan Wings yang ketua kumpulan Barbarik, JoBranko yang menolak dakwaan Datuk Awie yang memaklumkan punca dia tidak terlibat dengan penganjuran konsert Rock Warrior Music Festival (RWMF) di KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November depan adalah disebabkan wang semata-mata.
Branko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, juga memberitahu keputusan tersebut tidak dipengaruhi oleh hal peribadi.
“Saya ingin menegaskan bahawa soal harga yang dibincangkan adalah perkara biasa dalam mana-mana urusan profesional, termasuk dalam industri muzik.
“Setiap artis, termasuk Barbarik, mempunyai hak untuk meletakkan nilai yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat, dan reputasi.
“Artis lain juga mempunyai nilai yang pada pandangan mereka bersesuaian dengan reputasi dan harga pasaran mereka,” katanya ketika ditemui dalam majlis Perlantikan Duta Gibson di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JoBranko turut turut menafikan penolakan tersebut kerana ingin memutuskan hubungan silaturahim antara sesama rakan artis.
“Silaturahim perlu dilakukan dengan tulus dan ikhlas. Jika benar untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi seperti menghubungi secara terus dan bukan melalui tawaran komersial seperti konsert.
“Kami yang pernah bersama-sama dalam industri muzik bertahun-tahun melalui Wings mempunyai banyak ruang untuk bertemu dan berbincang secara baik tanpa perlu melibatkan acara umum.
“Mengeluarkan kenyataan yang jelas mengelirukan sebenarnya bukan untuk memulihkan hubungan silaturahim tapi kelihatan mempunyai niat yang tidak baik,” katanya.
JoBranko bagaimanapun berterima kasih kepada pihak penganjur konsert terbabit yang berusaha menganjurkan acara tersebut.
“Saya menghormati usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur untuk membantu industri muzik tempatan.
“Namun, penting untuk setiap pihak dalam urusan profesional ini bersikap adil dan terbuka, termasuk menghormati nilai dan syarat yang telah ditetapkan oleh artis,” katanya.
Sebelum ini, Awie memaklumkan JoBranko menolak tawaran diajukan rakan kongsinya dalam Rumah Produksi Merah (RPM) iaitu Datuk Eddy Amir Salim menyertai konsert Rock Warrior Music Festival (RWMF). – KOSMO! ONLINE