fbpx

Ahli GISBH percaya Abuya tidak mati, mayat terapung – JAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ahli GISBH yang dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam baru-baru ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menangkap seramai 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) setakat ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kesemua suspek tersebut terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah syariah meliputi akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Katanya, hasil siasatan mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

“Ini termasuklah amalan mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.

“Mereka juga mengamalkan Aurad Muhammadiah dengan percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib serta mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya.

“Seterusnya mempercayai Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan juga mendapati bahawa perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan serta menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.

Dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

“Poligami yang dibuat juga tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

“Situasi ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa),” ujarnya.

Justeru, Mohd. Shahzihan menegaskan tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah.

“JAIS telah berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

“Selain itu, siri tangkapan juga dijangka akan berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak JAIS,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI