JITRA – Operasi pencarian jasad Sabari Baharom, 62, di sepanjang Sungai Padang Terap yang masuk hari ketiga hari ini masih belum menemui sebarang petunjuk.
Usaha mencari itu dilakukan menggunakan bot Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Radius pencarian difahamkan meliputi 13 kilometer (km) sepanjang sungai tersebut yang bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas, dekat sini.
Sementara itu, isteri Sabari, Subhiah Roslina Shahibi, 57, dilihat berada di lokasi pencarian sehingga petang ini.
Turut kelihatan berada di situ adalah dua anak Sabari iaitu Suraiya Izzaty, 26, dan Nur Aina Sofiya, 28.
Subhiah Roslina berkata, dia hanya menunggu makluman daripada pihak polis sama ada operasi itu akan diteruskan atau sebaliknya.
“Saya berpuas hati tengok mereka buat pencarian, yang mana mereka sudah buat kerja mengikut kemampuan mereka.
“Namun, saya faham bahawa kes ini sudah lama berlaku iaitu pada 4 September lalu, jadi lebih kurang tiga minggu baru buat SAR selepas tahan suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Padang Terap, Lubuk Batu, di sini hari ini.
Katanya, selain itu, tempat tersebut juga merupakan lokasi banjir yang mana ia berlaku sebanyak dua kali sehingga menyebabkan aliran sungai deras.
“Operasi ini saya rasa akan ada rumusan untuk menentukan jalan pendekatan yang akan diambil,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE