KUCHING – Hasrat seorang peniaga di sini untuk memiliki pikap Ford Ranger Raptor 3.0 V6 bukan sahaja tidak kesampaian, malah kerugian sebanyak RM106,680 akibat ditipu sindiket penjualan kenderaan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata pada 16 September lalu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu melihat satu iklan jualan kereta yang dimuat naik pemilik akaun Facebook Nor Motorsport.
Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa seterusnya menghubungi nombor yang tertera dalam iklan yang menggunakan nama Nor Vincent dan Mr Jordan Liew melalui Whatsapp untuk pertanyaan lanjut mengenai kenderaan itu, yang ditawarkan dengan harga RM97,800 dan bayaran dalam tempoh lima tahun sebanyak RM1,630 sebulan.
Katanya suspek kemudian menawarkan kepada mangsa harga sebanyak RM85,000 sekiranya berminat dengan kenderaan berkenaan, dan dikehendaki mengisi butiran maklumat peribadi.
“Pada 21 September lalu, mangsa bersetuju dengan tawaran suspek dan mengisi maklumat peribadi, menghantar gambar kad pengenalan termasuk gambar lesen memandu isterinya kepada suspek.
“Mangsa turut membuat pemindahan wang sebanyak 24 kali transaksi berjumlah RM106,680 ke dalam empat akaun tempatan yang berlainan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata setelah selesai membuat pembayaran berkenaan, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat lagi pindahan wang sebanyak RM7,800 bagi bayaran proses penghantaran kereta.
Justeru, katanya mangsa yang berasa curiga dan menyedari telah diperdaya oleh suspek segera membuat laporan polis semalam, dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE