PETALING JAYA – Seorang murid cekal menuntut ilmu walaupun perlu menempuh perjalanan sejauh enam kilometer (km) dengan hanya berjalan kaki sambil ditemani bapanya pada setiap hari.
Kisah murid tahun enam yang dikenali sebagai Izara itu diceritakan seorang pempengaruh dan juga aktivis, Abbe Hae di akaun Facebooknya.
Ujar aktivis itu, jarak antara rumah dan sekolah Izara yang terletak di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan agak jauh berbanding kakaknya di tingkatan dua yang perlu berjalan hanya 1.5km sahaja.
Menurutnya, sebelum ini anak-anak tersebut dihantar dengan motosikal oleh bapanya, tapi malangnya kenderaan tersebut rosak dan berdepan masalah kewangan untuk memperbaikinya.
“Adakala Izara dan bapanya ditumpangkan oleh penduduk kampung yang kebetulan terserempak dengan dua beranak ini kesekolah.
“Terima kasih buat penduduk setempat yang prihatin dengan masalah anak beranak ini,” tulisnya.
Tambah Abbe Hae, apa yang menarik perhatiannya adalah tanggungjawab si bapa yang sanggup menghantar anaknya berjalan kaki supaya tidak tercicir dalam pelajaran.
“Satu komitmen yang harus diikuti oleh orang lain. Izara adalah anak yang rajin belajar. Sampai saja dirumah Izara terus saja buka beg sekolah dan mengulangkaji pelajaran.
“Semoga Izara menjadi anak yang berjaya satu ketika nanti,” katanya.
Sementara itu, di dalam hantaran tersebut turut dikongsikan beberapa keping gambar memaparkan keadaan rumah Izara yang usang ketika aktivis itu datang menziarahinya. – KOSMO! ONLINE