GEORGE TOWN – Feri ikonik Pulau Pinang yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang akan ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) esok.
Kurator Muzium Feri Pulau Pinang, Siti Faridah Hani Damsi berkata, feri itu yang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam pada 2021 sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium oleh Syarikat Printhero Merchandise Sdn. Bhd.
“Feri ikonik akan ditunda pada pukul 12.30 tengah hari esok dan dijangka tiba di KTMB Swing Bridge pukul 1 tengah hari sebelum berhenti seketika untuk menanti jambatan dibuka seterusnya pada 1.10 tengah hari.
“Penundaan feri akan diteruskan untuk berlabuh sementara waktu di SPCT. Untuk makluman kerja-kerja baik pulih feri ini masih belum siap sepenuhnya dan penundaan ke SPCT adalah untuk menyelesaikan baki kerja baik pulih feri sebelum diletakkan di Tanjung City Marina,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan feri ikonik Pulau Pinang yang dijadikan muzium feri terapung akan beroperasi penghujung tahun ini dan proses ubah suai telah mencapai 90 peratus.
Menurut Siti Faridah, orang ramai dijemput untuk menyaksikan detik bersejarah itu sebagai feri terakhir yang melintasi KTMB Swing Bridge berikutan penutupan Bagan Dalam Slipway dan merakam detik-detik terakhir feri ikonik tersebut menelusuri Selat Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE