fbpx

FAM tidak serik cari pemain warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. YUSOFF

PETALING JAYA – Kegagalan untuk mendapatkan khidmat kapten Go Ahead Eagles, Mats Deijl tidak mematahkan hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari pemain warisan bagi memperkuatkan Harimau Malaya.

Malah, badan induk itu juga sentiasa bersikap terbuka untuk mana-mana pemain yang bersedia untuk menabur bakti bersama Malaysia, namun aspek kualiti sentiasa jadi keutamaan sebelum diberi ‘lampu hijau’ sarung jersi kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata badan induk itu tidak pernah serik untuk mengintai pemain warisan berkualiti.

“Kita juga harus ucapkan terima kasih kepada Mats kerana niat yang baik untuk bermain dengan Malaysia.

“Saya berharap juga ada beberapa pemain warisan yang berpengkalan di luar negara ini tidak serik hingga menyekat usaha kita mendapatkan pemain terbaik bagi meneruskan agenda kita memperkuatkan pasukan kebangsaan,” katanya selepas Majlis Kerjasama antara FAM dan Warner Music Malaysia.

Semalam FAM menerusi satu kenyataan menjelaskan hasrat skuad kebangsaan untuk menggunakan khidmat Deijl tidak kesampaian selepas dia tidak melepasi syarat kelayakan.

FIFA sudah mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu tidak layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana hanya memiliki darah keturunan Malaysia melalui moyangnya (ibu kepada datuk), bukan daripada datuk atau nenek seperti ditetapkan dalam syarat-syarat FIFA.

Selepas semakan dibuat, Deijl mempunyai darah keturunan Malaysia menerusi moyangnya yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893 di mana ketika itu Singapura masih sebahagian daripada Tanah Melayu.

Merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat ditetapkan.

Antara syarat tersebut adalah pemain itu lahir di negara tersebut, ibu dan ayah pemain lahir di negara tersebut, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut atau pemain itu sudah menetap di negara tersebut melebihi lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI