fbpx

F1: Renault henti program bina enjin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALPINE terpaksa berunding dengan pengeluar baharu untuk membekalkan enjin kepada pasukan itu selepas membuat keputusan menghentikan program pembangunan unit kuasa. - AFP

LONDON – Renault telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan pembangunan program enjin Formula Satu (F1) mereka selepas musim 2025.

Keputusan mengejut itu bakal menyaksikan pasukan Alpine perlu membeli enjin daripada pengeluar lain bermula 2026 dengan Mercedes dijangka menjadi pembekal utama.

Kemudahan kilang enjin F1 Renault di Viry-Chatillon, Paris akan beralih tumpuan kepada pembangunan teknologi motor elektrik dan bateri selain aktiviti sukan permotoran yang lain.

Keputusan tersebut sekali gus menamatkan hampir 50 tahun sejarah penglibatan Renault dalam perlumbaan F1, selepas kali pertama mereka menyertai sukan ini pada 1977 dengan memperkenalkan enjin turbocharged.

Renault merupakan salah satu pengeluar enjin paling berjaya dalam F1 apabila merangkul 10 kejuaraan pengeluar dan sembilan kejuaraan pemandu bersama pasukan terkemuka seperti Williams, Benetton dan Red Bull.

Antara pemandu yang pernah memenangi gelaran dunia F1 dengan menggunakan enjin Renault termasuk Michael Schumacher, Alain Prost, Sebastian Vettel, dan Fernando Alonso, yang memenangi kejuaraan dunia bersama pasukan Renault pada 2005 dan 2006.

Namun, kejayaan Renault dalam era enjin hibrid bermula 2014 agak terbatas, dengan pasukan Alpine semakin merosot dalam persaingan.

Walaupun mereka mencatat kemenangan di Grand Prix Hungary 2021 bersama Esteban Ocon, prestasi pasukan terus merosot, kini berada di tempat kesembilan daripada sepuluh pasukan dalam kejuaraan dunia 2024 dengan baki enam perlumbaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN