SHAH ALAM – Kegiatan sepasang kekasih ‘kayangan’ menjual ganja berbentuk hati sejak setahun lalu terbongkar selepas dicekup dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya dekat sini, baru-baru ini.
Pasangan kekasih berusia 19 dan 24 tahun diberkas kira-kira pukul 3.50 petang pada 26 September lalu selain merampas dadah seberat 10.1 kilogram bernilai RM38, 068.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, modus operandi mendapati dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Thailand sebelum diproses dan dibungkus semula pasangan suspek itu.
Katanya, mereka juga melakukan penjualan menerusi medium media sosial kepada para pelanggannya.
“Penghantaran bekalan ganja itu dilakukan mereka sendiri secara bersemuka dengan pasaran adalah sekitar Lembah Klang. Harga jualan adalah serendah RM50 hingga lebih RM500 bergantung tempahan berat ganja itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek lelaki diberkas di kawasan parkir kondominium dan merampas 20 bungkusan ganja.
Tambahnya, soal-siasat kemudiannya membawa penahanan kekasihnya yang juga remaja di unit perumahan tersebut dengan merampas dua beg bagasi yang mengandungi dadah jenis sama.
“Siasatan mendapati mereka mampu meraih lebih RM300, 000 sebulan dan menyewa unit rumah tersebut dengan kadar RM3, 800 sebulan.
“Pasangan ini lahir di luar negara dan baharu pulang ke negara ini dengan kedua-dua suspek dipercayai dari keluarga berada,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, pasangan kekasih itu telah bercinta sejak setahun lalu dan dipercayai tinggal bersama dikatakan sedang melanjutkan pelajaran di kolej swasta sekitar Lembah Klang.
Semakan rekod mendapati mereka tiada rekod lampau dan negatif dadah.
“Kita turut merampas sebuah kereta jenis Toyota GT86 dianggarkan bernilai RM200, 000 daripada pasangan kekasih ini.
“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE