PADANG BESAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan pelepasan asap hitam dan tahap bunyi ekzos.
Pengarahnya, Jamal Affendy Shahar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang melanggar peraturan tersebut.
“Kenderaan yang gagal dalam ujian pengukuran asap hitam dan bunyi bising akan dikenakan tindakan tegas seperti kompaun serta pendakwaan di mahkamah,” katanya ketika ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, satu operasi bersepadu JAS bersama polis Padang Besar dilaksanakan di Kilometer 24 Jalan Padang Besar-Chuping bermula pada pukul 10 pagi.
Menurut Jamal Affendy, dalam operasi tersebut JAS menjalankan pemeriksaan pelepasan asap hitam ke atas 32 kenderaan pelbagai jenis.
Pengukuran tersebut dilakukan menggunakan alat meter bunyi yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Tambahnya, hasil daripada operasi ini, polis Padang Besar turut mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada kenderaan yang diperiksa. – KOSMO! ONLINE