JEMPOL – Seekor tapir jantan seberat 200 kilogram (kg) dengan anggaran usia lima tahun mati akibat kecederaan parah selepas dirempuh kenderaan di Jalan Bukit Rokan Barat, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu turut melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah mini kenderaan utiliti lasak (SUV) jenis Proton X50 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun dan dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu wanita berusia 37 tahun.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pemandu Proton X50 memandu seorang diri dari Melaka hendak ke Pahang dan sebaik sampai di tempat kejadian, semasa melalui jalan lurus menuruni bukit, tiba-tiba seekor tapir jantan telah berada di laluannya.
“Pemandu Proton X50 cuba membrek namun terlanggar juga binatang itu menyebabkan binatang itu terseret, terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan pacuan empat roda.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami apa-apa kecederaan dan hanya kerosakan pada kenderaan manakala binatang tersebut mati di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, ketika kejadian permukaan jalan rata, kering dan keadaan cuaca adalah baik, selain jalan gelap tanpa lampu kerana berlaku di waktu malam.
Menurutnya, bangkai binatang tersebut telah diambil oleh pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gemas Negeri Sembilan untuk dilupuskan. – KOSMO! ONLINE