SUNGAI PETANI – “Kami terkilan kerana sebelum ini ayah melayan suspek dengan baik, ayah tidak pernah cerita ada masalah dengan dia.”
Demikian kata Suraiya Izzaty, 29, anak sulung Sabari Baharom, 62, pesara Felcra yang dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus, Jitra.
Menurut Suraiya, bapanya tidak pernah bercerita hal buruk mengenai suspek dan mereka langsung tidak menyangka lelaki itu tergamak bertindak sedemikian.
“Ayah memang tidak suka cakap buruk pasal orang, saya dapat tahu suspek selalu datang rumah ayah untuk menggunakan air dan elektrik bagi pembinaan rumah jiran, tetapi kami tidak pernah bertemu.
“Saya tidak tahu apa motif sampai dia (suspek) sanggup bertindak kejam, ayah juga tidak pernah beritahu dia ada masalah dengan suspek atau apa-apa perkara yang mencurigakan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, suspek yang juga kontraktor ditahan selepas penduduk membuat laporan polis apabila lelaki itu menghilangkan diri sepanjang kehilangan bapanya sehingga projek pembinaan rumah tertangguh tertangguh.
“Selepas ayah hilang, suspek turut menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga dia ditangkap polis baru-baru ini,” ujarnya.
Jelasnya, penduduk kampung memberitahu polis membawa kedua-dua suspek ke rumah bapanya bagi tujuan lakonan semula kejadian pada Ahad lalu.
“Saya difahamkan pada hari kejadian ayah pulang ke rumah selepas keluar berjumpa kawannya dan suspek mengambil ayah sebelum dibawa ke Jitra,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE