KLUANG – Seorang pengusaha tanaman jambu batu tidak sanggup lagi untuk terus menanggung kerugian ratusan ribu ringgit selepas kebunnya di Jalan Renggam, di sini kerap diceroboh gajah liar.
Chin Chee Keong, 56, berkata, sehubungan itu dia menggesa pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor segera mengambil tindakan menghalang kemasukan haiwan itu.
“Sepanjang tahun ini saya sudah kerugian hampir RM100,000 apabila gajah liar ini masuk dan memakan buah jambu batu selain merosakkan pokoknya.
“Paling teruk adalah sejak dua minggu lalu, hampir setiap malam antara tiga sehingga lima ekor gajah datang ‘meratah’ jambu batu di kebun seluas 16.1 hektar ini,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, lebih 500 pokok sudah dirosakkan gajah dan terpaksa disulam semula.
“Gajah ini masuk seawal pukul 5 petang sebelum memakan buah jambu batu yang sudah matang serta sedia untuk dipetik.
“Walaupun pagar elektrik sudah dipasang untuk memagari keseluruhan kira-kira 18,000 pokok jambu batu itu, namun ia gagal menghalang kemasukan haiwan ini apabila tiangnya ditumbangkan atau wayarnya ditekan ke bawah bagi memudahkannya masuk ke kebun,” katanya.
Menurutnya, sepanjang dua minggu ini dianggarkan hampir 24 tan buah serta 270 batang pokok jambu batu selain 20 batang pokok pisang yang ditanam di kebun miliknya itu habis diratah dan dirosakkan mamalia tersebut.
Ujarnya, apa yang paling membimbangkan adalah gajah liar berkenaan datang dari arah hutan berhampiran MARDI dan melintasi landasan berkembar keretapi elektrik sebelum memasuki kebunnya.
“Tempoh hari sudah berlaku kejadian kereta api melanggar seekor gajah namun tidak mengakibatkan kemalangan serius.
“Lebih membimbangkan adalah sekiranya kumpulan gajah berkenaan mendekati kawasan rumah pekerja yang terletak di tengah-tengah kebun, seterusnya menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak dapat membina parit gajah di sekeliling kebun itu kerana ia melibatkan tanah persendirian individu lain. -KOSMO! ONLINE