GOLONGAN pelajar seharusnya diberikan pendedahan terhadap industri pekerjaan yang mampan sejak usia yang muda, bagi mempersiap minda mereka terhadap cabaran yang bakal dihadapi sejurus memasuki dunia pekerjaan kelak.
Penganjuran program seperti persidangan di peringkat antarabangsa dilihat menjadi antara medium yang berkesan untuk memupuk minda generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara kelak.
Sekolah Islam Antarabangsa ADNI baru-baru ini menganjurkan satu persidangan di peringkat antarabangsa bertajuk Persidangan Pelajar Antarabangsa ADNI (AISC) yang berlangsung di Hotel Westin Kuala Lumpur.
Bertemakan Youth Empowerment for Sustainability: Engaging the Next Generation for Jobs of Tomorrow, program yang berlangsung pada 1 hingga 5 September lalu itu diadakan untuk memperkasa golongan belia sebelum mendepani cabaran kerjaya, memupuk daya pemikiran kritis serta memastikan golongan muda mendapat akses terhadap peluang pekerjaan yang mampan.
Pengarah Program, Nur Akmal Abdul Rahim dalam sesi ucapannya mengucapkan selamat datang kepada semua perwakilan dan berterima kasih atas penyertaan daripada mereka yang terlibat dari pelbagai negara.
“Saya menyeru kesemua perwakilan untuk mengambil peluang ini untuk belajar, bertukar idea dan meraikan perbezaan budaya sepanjang persidangan ini.
“Saya juga memberi galakan sepenuhnya kepada semua perwakilan untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mendepani cabaran di peringkat antarabangsa dan memacu dunia ke arah yang lebih positif,” katanya.
Persidangan tersebut disertai oleh 133 orang perwakilan yang mana seramai 91 daripadanya adalah perwakilan daripada Sekolah Islam Antarabangsa ADNI, manakala 42 yang lain merupakan perwakilan dari luar.
Sebanyak tujuh buah sekolah dari lima buah negara terlibat dalam persidangan tersebut iaitu Sekolah Islam Antarabangsa ADNI dan Sekolah Setiabudi dari Malaysia; Sekolah Islam Jakarta, Indonesia; Sekolah Antarabangsa Yuai dan Sekolah Antarabangsa Al-Sanad, Jepun, Sekolah Islam Integrasi Thailand dan Sekolah Islam Antarabangsa Al-Munawwarah, Filipina.
Antara aktiviti yang disertai para perwakilan sepanjang persidangan termasuk pembentangan berkaitan topik kerjaya mampan, sesi malam kebudayaan, sesi bertukar pendapat bersama pakar, lawatan ke Sekolah Islam Antarabangsa ADNI dan juga lawatan ke Genting Highlands.
Seorang wakil persidangan dari Sekolah Islam Jakarta, Fakhri Adi, 16, berkongsi perasaan teruja apabila dapat menyertai persidangan berkaitan kerjaya mampan yang dianjurkan ADNI.
“Saya seronok apabila dapat berkenalan dengan perwakilan dari negara lain.
“Ini juga menjadi peluang kepada saya untuk melihat dan bertukar pendapat bersama mereka, sekali gus menambah pengetahuan saya berkenaan pelbagai perkara,” katanya.
Sekolah Islam Antarabangsa ADNI berharap agar persidangan penuh ilmiah sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, sebagai wadah ilmu buat pelajar sekolah di dalam dan juga luar negara untuk berkongsi pendapat serta belajar daripada satu sama lain.