JITRA – Operasi pencarian jasad pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Wang Tepus, di sini diteruskan hari ini.
Usaha pencarian yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu dilakukan menggunakan bot Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamar Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Operasi mencari dilakukan di sepanjang sungai tersebut termasuk di celah rimbunan pokok di kawasan tebing.
Anggota operasi turut berdepan kesukaran berikutan hujan lebat dan arus sungai yang deras.
Difahamkan, pencarian dilakukan di sungai itu dari Wang Tepus menghala Kepala Batas sejauh 12.8 kilometer (km) serta dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang ke Tandop Chegar di sini sejauh 7km.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat, manakala mulut pula ditutup menggunakan pita pelekat. – KOSMO! ONLINE