LOMBOK, Indonesia – Juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia mendesak agar Ducati segera menyelesaikan masalah pada jentera GP24 miliknya terutama ketika di grid permulaan hingga menjejaskan peluangnya sewaktu di Grand Prix Indonesia, kelmarin.
Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak keempat dihantui masalah bahagian hadapan dan juga bergelut cengkaman tayar belakang yang menyebabkan dia kehilangan posisi penting, tetapi pelumba Itali itu berjaya bangkit sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Tegas Bagnaia, permulaan perlumbaan yang lemah serta terlalu berhati-hati di pusingan awal telah menyebabkan dia gagal mencabar seteru utamanya, Jorge Martin dari Pramac yang menjuarai perlumbaan tersebut.
Justeru, Bagnaia menuntut isu tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin kerana dia sudah kehilangan banyak peluang untuk mengekalkan kejuaraannya akibat masalah teknikal pada awal permulaan perlumbaan.
“Sejak beberapa perlumbaan kebelakangan ini, saya sering mengalami masalah ketika memulakan perlumbaan. Perlumbaan saya tidak konsisten, kadang-kadang baik, kadang-kadang sebaliknya.
“Permulaan saya hari ini tidak seperti yang diharapkan. Saya kehilangan beberapa posisi kerana tayar belakang. Selepas itu, saya terlalu berhati-hati di beberapa pusingan awal yang menyebabkan saya sukar untuk kembali ke depan.
“Sekiranya anda berada di hadapan, anda boleh mengimbangi kekurangan cengkaman belakang dengan brek, tetapi jika anda di belakang, ia lebih sukar untuk mengatasi pelumba di hadapan,” katanya.
Hasil keputusan tersebut, Martin terus mengukuhkan cengkaman dalam pemburuan gelaran dunia MotoGP 2024 apabila mengumpul 366 mata dan meninggalkan Bagnaia dengan perbezaan 21 mata. – AGENSI