fbpx

Kukuhkan budaya bangsa Melayu Malaysia, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perjumpaan antara MABMI dan SAABM di Kuala Lumpur malam tadi, dalam mengadakan kerjasama mengukuhkan kedudukan budaya bangsa Melayu.

PETALING JAYA – Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia (MABMI) berhasrat untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) bagi mengukuhkan kedudukan budaya bangsa Melayu.

MABMI menyampaikan hajat dalam menjalin kerjasama itu kepada bekas Perdana Menteri yang merupakan pengasas dan penaung SAABM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menerusi pertemuan itu, Ketua Umum Pengurus Besar MABMI, Prof Dr Ok Saidin SH berkata, pihaknya memandang tinggi usaha digerakkan oleh Ismail Sabri sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia sehingga hari ini.

“Kami melihat beliau sebagai seorang pejuang bahasa Melayu. Telah banyak usaha dilaksanakan beliau, seperti penggunaan bahasa Melayu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77 pada 24 September 2022.

“Perkara tersebut adalah satu sejarah yang membanggakan buat orang Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MABMI adalah sebuah lembaga sosiobudaya bagi menghimpunkan masyarakat Melayu Indonesia, yang bermatlamat memelihara dan mengembangkan adat serta kebudayaan Melayu bagi masyarakat pendukungnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menghargai usaha MABMI yang ditubuhkan sejak tahun 1971 di Sumatera Utara, malah pihak tersebut memainkan peranan penting dalam melestarikan budaya Melayu terutama di Medan, Indonesia.

“Usaha mereka ini tidak tertumpu kepada memperkasa budaya Melayu sahaja, malah merentasi aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Ismail Sabri turut berkongsi aspirasi sama dengan MABMI seperti usaha pemerkasaan bahasa Melayu yang kian terpinggir dalam masyarakat hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI