fbpx

Kerajaan akan perkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada program `Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event' di ibu negara hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia akan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang akan menekankan kepada empat bidang teras.

Menurut Anwar, teras pertama adalah untuk meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam dengan memanfaatkan teknologi awan.

Jelas beliau, teras kedua membolehkan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat permulaan memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses kepada pasaran global.

“Ketiga, mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh untuk melindungi data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam kedua-dua persekitaran awan awam dan swasta.

“Kempat, memperkasakan rakyat melalui keterangkuman digital untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital,” katanya pada program `Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event’ di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Madani berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan kecerdasan buatan (AI)

Berlandaskan hasrat itu, kata beliau, Kerajaan Madani meletakkan transformasi digital dalam pelan hala tuju ekonominya seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Memacu Malaysia ke arah kepimpinan AI, Kerajaan Madani melancarkan Pelan Hala Tuju Bakat AI untuk Malaysia (2024-2030) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC) sebagai laluan konkrit ke arah kemajuan AI.

“Selaras dengan usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam landskap AI global, kerajaan sedang menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan untuk menyelaraskan semua inisiatif berkaitan teknologi AI,” katanya.

Selain itu, kata beliau, dalam tempoh 12 bulan akan datang, kerajaan menyasarkan untuk mencapai beberapa hasil Utama termasuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi AI (2026 hingga 2030) dan penubuhan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI.

Dalam pada itu, Anwar berkata, seramai 5.5 juta pelajar dan guru di Malaysia kini menggunakan platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dan ia harus dicontohi oleh seluruh jentera kerajaan.

“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Kabinet esok. Tiada sebab jabatan kerajaan tidak boleh memulakan segera perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI