JAGUH seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk kembali ke oktagon meskipun Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White berulang kali menghubunginya untuk keluar dari persaraan.
Khabib yang ditemui kelmarin di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara kelmarin mengakui bahawa perjuangannya dalam UFC sudah pun selesai dan kini fokus sepenuhnya untuk membantu anak didiknya bagi meneruskan legasi dalam perlawanan tersebut.
“Kadang-kadang mereka (UFC) cuba hubungi, tetapi saya sering katakan bahawa saya sudah selesai. Kini, saya mempunyai pelajar-pelajar saya dan mereka sedang berjuang. Fokus saya sepenuhnya kepada mereka, dan mereka kini adalah yang terbaik di dunia pada masa ini.
“Jadi, tiada sebab untuk saya kembali ke gelanggang,” kata Khabib ketika ditanya mengenai usaha UFC untuk ‘memujuknya’ kembali ke oktagon selepas mengumumkan persaraan dengan rekod tanpa kalah 29-0, setelah menumbangkan petarung dari Amerika Syarikat, Justin Gaethje, pada 2020.
Ketika ditanya mengenai pencabar untuk Islam Makhachev, Khabib mengesahkan bahawa mereka sudah mengenal pasti calon pencabar yang akan dihadapi rakan sparingnya itu pada pertembungan Januari tahun depan.
“Akan sentiasa ada pencabar dan pesaing. Sukan ini berkembang sangat pesat, dan ramai petinju baru muncul yang mampu mencabar Islam. Namun buat masa ini, Islam bukan sahaja juara, tetapi dia juga merupakan pejuang terbaik pound-for-pound di dunia sekarang.
“UFC sudah menawarkan kami pertarungan pada bulan Januari, dan kami telah menerima tawaran tersebut. Sekarang, UFC akan mengumumkan di mana dan siapa yang akan bertarung dengannya tidak lama lagi. Saya tidak mahu umumkan sekarang, tetapi kami sudah fokus pada Januari nanti,” ujarnya.
Khabib kini beralih ke bidang kejurulatihan, dan antara jaguh MMA yang kini berlatih bersamanya termasuklah Islam Makhachev, Umar Nurmagomedov, Zubair Tukhugov, Tagir Ulanbekov, Saygid Izagakhmaev, Gadzhi Rabadanov dan Islam Mamedov.