JITRA – “Harapan saya agar jasad ayah ditemui, sekurang-kurangnya ada kubur untuk kami tiga beradik ziarah”
Demikian kata Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, anak bongsu kepada pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini baru-baru ini.
Katanya, dia sekeluarga akan terus membuat solat hajat sehingga jasad bapanya dijumpai.
“Memang sedih dengan apa yang berlaku, cumanya bila kata ayah masih tidak jumpa lagi, kita akan buat solat hajat sehingga jumpa jasad ayah saya.
“Harapan saya adalah nak bagi ayah ada kubur macam orang lain,” katanya.
Menurutnya, dia berdoa agar usaha pencarian bapanya oleh pihak berkuasa berjalan lancar.
“Saya harap semua orang yang buat pencarian ini dapat penyelesaian macam mana nak dapatkan jasad ayah yang mana lokasi ini juga merupakan tempat dilanda banjir.
“Semoga pasukan terlibat yang pakar dalam usaha pencarian ini dapat menemui ayah,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya dan dua kakak, Suraiya Izzaty, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28.
“Kakak saya (Suraiya) orang paling rapat dengan ayah, dia selalu balik dan telefon ayah. Dalam keadaan masih dalam pantang, dia bawa bayi yang masih kecil pandu kereta cari ayah.
“Bila tanya orang, semua kata dah dua hari tak jumpa ayah, ayah tak pergi masjid. Jawapan sama menyebabkan kami tiga beradik sangat sedih,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, katanya, sebagai satu-satunya anak lelaki, dia perlu kuat dengan ujian itu.
“Saya pun rasa nak menangis kerana sedih tetapi saya kena kuat, kalau saya nangis habislah semua, runtuh,” tambahnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di sini dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, jasad mangsa bagaimanapun belum ditemui dengan usaha mencari sedang giat dijalankan.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang berjaya ditahan pada Jumaat lalu.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta jenis Proton Waja dinaiki Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – KOSMO! ONLINE