KAJANG – Seorang kakitangan kerajaan menjadi individu pertama menerima lesen Kelas B menerusi Progam Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B yang bermula pada hari ini.
Afifi Anuar, 36, menerima lesen tersebut selepas mendaftar dan menjalani ujian di AMSA Bangi Driving Academy, Sungai Merab di sini, dalam tempoh dua jam serta menerima keputusan lulus.
Berkongsi keterujaannya, dia mengambil lesen Kelas B selepas kerajaan memperkenalkan program khas tersebut lebih-lebih lagi bayaran dikenakan berpatutan iaitu RM160.
“Saya memegang lesen Kelas B2 selama 22 tahun dan bila kerajaan terutama JPJ mengadakan program ini, bayarannya lebih murah. Sebelum ini memang rancang nak ambil Kelas B, tapi belum sampai masanya.
“Jadi dah ada program khas ini, saya semak dan layak untuk menduduki ujian hari ini. Sekali ujian saja, terus lulus,” katanya kepada media pada hari pertama Sesi Ujian Penuh Pelaksanaan Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau hari pertama pelaksanaan program tersebut.
Ditanya mengenai ujian berkenaan, Afifi berkata, ia mudah, namun perlu menyesuaikan diri menunggang motosikal bersaiz besar.
“Cabaran pertama lalu di titi dan motosikal besar ni, kita risau jatuh. Tapi tenaga pengajar beri panduan sewaktu latihan, mudah saja. Gemuruh juga dengan latihan dua jam.
“Saya tinggal di Bangi dan bekerja di Klang, jadi hari-hari naik motosikal dan memang biasa. Alhamdulillah saya tidak pernah berdepan tindakan saman sepanjang menunggang motosikal,” ujarnya.
Afifi berkata, dengan adanya lesen Kelas B, dia berharap dapat membeli motosikal berkuasa tinggi model idamannya iaitu Kawasaki Z1000.
“Mungkin tahun depan, tapi dalam perancangan dan tunggu kiraan kewangan dulu,” katanya.
Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata, Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B akan bermula 1 Oktober.
Beliau dipetik berkata, program itu membolehkan pemegang lesen kelas B1 dan B2 untuk beralih kepada lesen motosikal kelas B, dengan mengikuti syarat-syarat ditetapkan. – KOSMO! ONLINE