fbpx

Deijl tak cukup syarat wakil Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEIJL (kiri) menyatakan komitmen untuk beraksi bersama Harimau Malaya, namun dia mungkin terpaksa melupakan hasrat itu selepas tidak melepasi syarat ditetapkan. - AFP

KUALA LUMPUR – Hasrat skuad bola sepak kebangsaan untuk menggunakan khidmat pemain pertahanan kelab Belanda, Go Ahead Eagles, Mats Deijl tidak kesampaian selepas dia tidak melepasi syarat kelayakan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu tidak layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Berdasarkan dokumentasi yang dilampirkan, Deijl hanya memiliki darah keturunan Malaysia melalui moyangnya (ibu kepada datuk), bukan daripada datuk atau nenek seperti ditetapkan dalam syarat-syarat FIFA.

“Terdahulu, pemain ini telah menunjukkan minatnya untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

“Justeru FAM sejak dari 27 Jun 2024 telah pun menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

“Hasil perbincangan, pemain ini telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan dia mempunyai hubung kait dengan Malaysia termasuk sijil lahirnya, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah), iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut,” kata FAM.

Selepas semakan dibuat, Deijl mempunyai darah keturunan Malaysia menerusi moyangnya yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893 di mana ketika itu Singapura masih sebahagian daripada Tanah Melayu.

Merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat ditetapkan.

Antara syarat tersebut adalah pemain itu lahir di negara tersebut, ibu dan ayah pemain lahir di negara tersebut, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut atau pemain itu sudah menetap di negara tersebut melebihi lima tahun.

Justeru, bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berhubung kelayakan pemain itu, FAM pada 23 September lalu menghantar surat kepada FIFA untuk mengetahui status Deijl yang mahu mewakili Malaysia menerusi darah keturunan moyangnya.

Bagaimanapun, jawapan diterima sedikit mengecewakan apabila FIFA menjelaskan bahawa keturunan yang melangkaui datuk atau nenek, pemain itu tidak layak untuk mewakili negara tersebut.

“Dukacita dimaklumkan bahawa keturunan mana-mana pemain yang melangkaui datuk atau nenek tidak membolehkan pemain untuk mewakili pasukan anda,” jelas FIFA menerusi surat maklum balas bertarikh 25 September 2024.

Sementara itu, FAM turut memaklumkan bahawa mereka juga sudah menghubungi beberapa pemain seperti yang dicadangkan, namun belum ada yang positif berhubung kesahihan pemain-pemain itu memiliki darah keturunan Malaysia seperti ditetapkan FIFA. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI