PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas juara dunia Ultimate Fighting Champion (UFC) bagi kategori lightweight, Khabib Nurmagomedov malam tadi.
Pertemuan pada jamuan makan malam itu membincangkan perkara berkaitan Islam termasuk hal ehwal pembangunan ummah dan Palestin.
“Usai pertemuan dengan rombongan dari Indonesia, saya dan Azizah berpeluang meraikan lagenda UFC dunia, Khabib Nurmagomedov bersama delegasi dalam jamuan makan malam di Seri Perdana, Putrajaya.
“Turut bersama dalam sesi ini adalah aktivis hak asasi dan professor undang-undang dari Amerika Syarikat, saudara Khaled A. Beydoun serta perenang Palestin yang beraksi di Olimpik Paris, Yazan Al Bawwab,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau melihat personaliti seperti Khabib, Khaled dan Yazan sangat penting untuk menjadi inspirasi bahawa seorang Islam yang baik bukan sahaja terbaik dalam profesion namun, mampu menonjolkan nilai yang bertunjangkan ihsan dan rahmah khususnya dalam menghadapi gejala Islamofobia.
Terdahulu, Khabib tiba di Malaysia pada Ahad lalu untuk menemui peminatnya di negara ini.
Khabib berasal daripada Republik Dagestan Rusia menjadi muslim pertama yang memenangi gelaran UFC bagi kategori lightweight dan tidak pernah tewas sepanjang pertarungan dengan rekod 29-0.- KOSMO! ONLINE