PETALING JAYA – Seorang abang sanggup berkorban dengan menunggang motosikal dari Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah untuk membawa adiknya mendaftar sebagai pelajar baharu.
Penjual buah, Ee Tai Qing, 27, menunggang motosikal dari Sungai Udang, Melaka membawa adiknya, Ee Tai Zhi, 21, yang merupakan antara 4,195 pelajar baharu yang mendaftar di UUM, pagi tadi.
Kisah pengorbanan Tai Qing terhadap adiknya, Tai Zhi itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi UUM.
“Tai Qing menaiki motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke UUM Sintok sejak dua hari lepas.
“Pagi tadi dia tiba di Bangunan Canselori dan disantuni Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd. Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
“Adiknya Tai Zhi akan mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan berjanji untuk memberi fokus apabila kuliah bermula,” menurut hantaran tersebut, hari ini.
Sementara itu, Tai Zhi berkata, dia tidak menduga mendapat pilihan program yang diminati dan ingin menimba pengalaman baharu di Lembah Sintok.
“Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE