GEORGE TOWN – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang wanita bahawa dia dipaksa menjadi pelacur oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along di negeri ini menerusi sesi audio siar (podcast) di TikTok baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kes tersebut dan akan mengesan lokasi wanita terbabit.
“Kita tidak boleh dedahkan lagi kes ini, kita akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Terdahulu, Hamzah hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Daerah Timur Laut.
Pada majlis itu, Ketua Jabatan Pengurusan Pulau Pinang, Asisten Komissioner Muhammad Halim Yatim menyerahkan jawatan kepada Asisten Komissioner Razlam Ab. Hamid yang juga Ketua Polis Daerah Timur Laut sebelum ini.
Razlam kemudian menyerahkan jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut kepada Timbalannya, Superintendan Lee Swee Sake yang akan memangku jawatan tersebut.
Terdahulu, seorang wanita berusia 26 tahun menghubungi pengendali podcast itu mendakwa dia berada di Pulau Pinang dan dipaksa menjadi pelacur sejak Februari lalu selepas bapanya berhutang dengan ceti haram.
Wanita itu yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu mendakwa bapanya berhutang sebanyak RM20,000 daripada along. Bapanya meletakkan nama ibunya dan mereka sekeluarga sebagai penjamin. – KOSMO! ONLINE