PETALING JAYA – Terpanggil mengulas isu penyondol, pelakon Reen Rahim menegaskan orang ketiga yang didakwa sebagai punca kemelut dalam sesebuah perkahwinan tidak harus dipersalahkan.
Sebaliknya, Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 35, menuding jari kepada lelaki atau golongan suami yang memberi ruang kepada orang ketiga untuk masuk dalam hubungan rumah tangga.
“Kalau kena sondol bukan salah penyondol.
“Salah lelaki yang buka ruang bagi penyondol masuk menyondol,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon drama Sahara itu turut memberi amaran kepada suami selain melepaskan penyondol kepada ahli keluarganya untuk diuruskan.
“Jadi, awas ya bukan aku kerjakan penyondol.
“Aku suruh mak mentua, adik-adik ipar, biras-biras dan anak-anak buah sondol si penyondol,” ujarnya.
Kenyataan tersebut dibuat selepas seorang peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangganya bersama suami, Hazim Zainal tanpa gangguan penyondol.
“Jom netizen semua kita sama-sama doakan hubungan suami isteri ini (Reen dan Hazim) tidak digoda penyondol,” tulis peminat.
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 24 Disember 2022.
Mereka belum dikurniakan rezeki untuk mempunyai cahaya mata. – KOSMO! ONLINE