PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemantauan dijalankan di sekolah, jabatan, saluran politik dan kelompok-kelompok tertentu bagi memerangi pengaruh dan unsur keganasan.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu bukan dibuat berdasarkan agenda tertentu dan tidak bersifat politik kepartian, sebaliknya demi keselamatan negara.
Menurut beliau, unsur dan pengaruh luar itu perlu sentiasa dipantau sekiranya tidak mahu berakhir dengan keganasan seperti yang dilihat di kebanyakan tempat di dunia.
“Saya akui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pengalaman yang lama, namun ia harus diperkemaskan. Agendanya ialah keselamatan dan keamanan.
“Kalau kita nak uar-uarkan, kita mahu kebebasan dan biar negara ini lingkup. Itu bukan kebebasan. Itu memungkinkan negara ditakluki atau kacau bilau berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.