MERSING – Mangsa kedua serangan gajah liar sudah sedar selepas ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat cedera parah dialami.
Mangsa berusia 51 tahun yang terselamat dalam serangan yang berlaku di belakang Sekolah Kebangsaan LKTP Tenggaroh 5 itu walau bagaimanapun masih lemah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa kini masih dirawat di hospital berkenaan.
“Mangsa kedua sebelum ini ditidurkan oleh doktor bagi tujuan untuk menguatkan tubuh pesakit.
“Mengikut maklumat diperoleh pada hari ini dia sudah sedar, cuma dia masih lemah memandangkan banyak kecederaan dialami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa serangan gajah pada 26 September itu sebelum ini disahkan mengalami pendarahan dalam kepala, satu ruas tulang rusuk patah dan patah tulang pinggul.
Dalam serangan sama, mangsa mengalami cedera parah manakala seorang lagi mangsa Mohamad Syafik Yakob, 31 disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 selepas mengalami kecederaan di bahagian leher kiri dan dada kiri.
Kedua-dua mangsa itu yang merupakan pekerja kontrak pembersihan sekolah didapati bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah sebelum diserang gajah. Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-KOSMO! ONLINE