BUTTERWORTH – Pelumba berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan, Mohd. Elmi Jumari mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sebentar tadi.
Pada perlumbaan yang bermula dari Arau ke Butterworh sejauh 154 kilometer (km) itu, Mohd. Elmi dilihat terjatuh bersama sebilangan besar pelumba pesaing ketika perlumbaan berbaki 100 meter sewaktu pecutan terakhir dilakukan.
Perkembangan itu dikongsikan Ketua jurulatih Malaysia, Mohd Yusof Nasir yang melihat kecederaan Mohd. Elmi agak serius dan mungkin terpaksa disisihkan pada peringkat ketiga esok.
“Saya tidak dapat perkembangan terbaru tapi saya dimaklumkan Mohd. Elmi kemalangan dan ia agak membimbangkan.
“Kita juga kemungkinan kehilangan khidmat dia untuk peringkat seterusnya.
“Apa yang pasti, saya kene ke hospital untuk tahu perkembangan dia,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Perlumbaan LTdL peringkat kedua dimenangani oleh jaguh JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat.
Tempat kedua milik pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte dan ketiga, pelumba pasukan Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn. – KOSMO! ONLINE