fbpx

KSU Kementerian Kerja Raya turun padang lihat jalan berlubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmizam (dua dari kanan) mendengar penerangan Azman (kanan) semasa lawatan ke lokasi jalan berlubang dan rosak di Pelabuhan Klang, hari ini.

KLANG – Isu jalan berlubang di Pelabuhan Klang di sini yang tular mendapat respon segera daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ini apabila Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim turun padang melihat sendiri lokasi jalan rosak di Junction 8 selepas Jambatan Kurau.

KKR menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, lawatan tersebut dibuat Azman bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Antara masalah yang ada ialah jalan raya di junction 8 rosak di bahagian pavemen dan slab konkrit serta air bertakung selepas Jambatan Kurau.

“Pihak kontraktor akan melaksanakan kerja pembaikan sementara menggunakan hot mix di kawasan pavemen dan kerja konkrit di kawasan junction 8 seperti skop kontrak,” katanya.

Menerusi hantaran itu juga, Azman menggesa agar pihak berwajib melaksanakan kerja-kerja pembaikan di kawasan junction 8 dengan kadar segera.

Dalam perkembangan sama, Azmizam menzahirkan penghargaan kepada Azman atas respon terhadap aduan dibuatnya semalam.

Beliau memaklumkan dia dihubungi Azman melalui panggilan telefon dan hadir ke tapak aduan bersama-sama sambil dihadiri juga oleh pegawai – pegawai JKR.

“Beliau (Azman)telah memberikan arahan kepada Ketua Pengarah JKR Datuk Ir. Roslan bin Ismail (tidak dapat hadir semasa lawatan tapak kerana ada mesyuarat lain) dan semua pegawai JKR yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan segera isu ini,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kegagalan Jabatan JKR menyelesaikan jalan berlubang dari Jambatan Selat menghala Bandar Suleiman di sini sehingga menyebabkan takungan air jelas mengecewakan Azmizam.

Malah, Azmizam turut memberi tempoh seminggu kepada JKR untuk membaiki jalan itu atau berdepan mogok yang akan dilaksanakan sebagai protes terhadap jabatan tersebut selepas hampir setahun gagal menyelesaikan masalah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI