“Hidup tidak pernah gagal memberikan kita pelajaran, maka bersedialah untuk menghadapi kehidupan,” ujar Nurhidayah Johari, 22, saat memulakan perbualan bersama iGen.
Anak bongsu daripada dua beradik itu bukan sahaja seorang mahasiswa, malah dia merupakan aktivis orang kelainan upaya (OKU) yang begitu komited.
Pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Malaya (UM) itu turut mempunyai rekod akademik yang membanggakan.
Buktinya, dia telah menerima Anugerah Dekan dan Anugerah Timbalan Naib Canselor.
Namun, pencapaian gadis berasal dari Kajang, Selangor itu tidak terhad kepada bidang akademik sahaja.
Jelas gadis bertongkat itu, dia percaya manusia bukan sekadar untuk hidup, tetapi bagaimana kita memberi makna dalam kehidupan.
Bagi Nurhidayah yang kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (Permium), penglibatannya dalam pelbagai aktiviti termasuk mewakili universiti dalam pelbagai forum dan persidangan telah membentuk keperibadiannya sebagai pemimpin. Menariknya, Nurhidayah juga mempunyai sejarah hidupnya sendiri, selain pernah menempuh cabaran kesihatan sejak kecil.
“Saya pernah melakukan tiga siri pembedahan di kaki. Namun, cabaran ini tidak menghalang saya untuk terus maju.
“Pengalaman saya sendiri sebagai OKU telah mendorong diri untuk menjadi ‘advokat’ kepada golongan istimewa.
“Saya tidak menjadikan OKU sebagai satu halangan untuk menuntut ilmu dan memberinya semula kepada masyarakat,” katanya.
Sebaliknya, dia menggunakan pengalamannya untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
Sebagai bukti, Nurhidayah telah memenangi johan pada Young Disability Competition (YDC) 2022 dan menerima Anugerah Star of Hope 2024.
“Selain advokasi OKU, saya juga berminat dalam isu kesihatan mental.
“Saya suka membaca buku-buku yang berisi kandungan berat sejak berumur 15 tahun,” katanya sambil memberitahu, minatnya dalam bidang itu membolehkan dia menjadi tempat rujukan rakan-rakan dalam isu kesihatan mental.
Ditanya mengenai misi jangka panjang, Nurhidayah berkata, dia mahu memberi advokasi dan pendidikan mengenai OKU, meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental dan memperkasa golongan tersebut mencari minat serta kebolehan mereka.
Melihat pencapaian dan aspirasi Nurhidayah, jelas sekali bahawa masa depan advokasi OKU dan kesihatan mental di Malaysia berada di tangan orang yang betul.