SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah berdepan hukuman gantung selepas didakwa Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya, dua minggu lalu.
Tertuduh, Wan Shahrizan Wan Kadir, 26, faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai jersey berwarna hitam dan berseluar pendek tersebut kerana di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Wan Shahrizan didakwa telah membunuh Raja Azman Raja Abdul Tahir, 43, di pondok pengawal keselamatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sabak Bernam, Sabak Bernam antara pukul 2.30 hingga 4 pagi, pada 15 September lalu.
Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 13 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, manakala peguam Mohd. Azali Ibrahim mewakili tertuduh.
Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 4 Disember depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemui di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam.
Pemeriksaan lanjut kemudian menemui mayat mangsa yang cedera akibat ditikam dan dikelar dalam but kereta berkenaan.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan pada 17 September lalu di rumahnya sekitar Sabak Bernam dengan hasil siasatan lanjut mendapati motif pembunuhan dipercayai masalah peribadi dan hutang.
Penahanan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk tiga bilah pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian itu.
Keluarga mangsa turut berharap suspek segera dihadapkan ke muka pengadilan. – KOSMO! ONLINE