POKOK SENA – Seorang wanita warga emas memberitahu dia bagaikan hilang semangat apabila rumahnya di Kampung Empa, Derang di sini sekali lagi dilanda banjir berikutan limpahan Sungai Empa, dua hari lalu.
Menurut Siti Leha Man, 76, dia sedih apabila melihat rumahnya yang baru siap dibersihkan akibat kejadian banjir kali pertama pada 18 September lalu kembali digenangi air.
“Sebenarnya saya dan anak-anak baru siap bersihkan dua buah rumah pada petang Sabtu lalu, namun selepas maghrib hari sama air naik semula.
“Memang sedih tengok lantai rumah dan barang-barang lain kembali kotor dan basah. Saya memang sudah tidak berdaya nak bersihkan lagi rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia tidak mampu lagi nak mengangkat barang berat memandangkan usianya yang sudah lanjut selain menghidap pelbagai penyakit.
“Anak-anak pun datang bantu angkat barang dan cuci rumah, mereka pun sudah keletihan. Bertambah letih bila tengok barang yang baru dibersihkan kembali terendam dalam air.
“Buat masa ini, kami tengok dahulu dan tunggu air surut sepenuhnya. Kami perlu kumpul kekuatan dan semangat dahulu sebelum boleh cuci rumah,” ujarnya.
Sementara itu, anaknya, Mohd. Nazmi Ismail, 36, berkata, dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membersihkan rumah akibat banjir kali pertama.
“Petang Sabtu itu kami baru siap membersihkan sepenuhnya dua rumah, tetapi malam itu air naik balik. Memang sedih tengok barang basah dan kotor semula,” katanya.
Katanya, banyak barang yang rosak seperti peti ais dan almari kayu.
“Kejadian banjir kali pertama agak dalam iaitu paras pinggang dan kali ini paras betis,” ujarnya.
Dia berharap agar banjir kali kedua ini cepat surut dan ada pihak yang dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 1,431 orang daripada 459 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu sehingga pukul 1.30 tengah hari ini.
Jumlah mangsa tertinggi berada di Pokok Sena iaitu seramai 737 orang, diikuti Kota Setar 410 orang dan Kubang Pasu 284 orang.
Dalam pada itu, enam sungai kini berada pada paras bahaya iaitu Sungai Bata dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di dua lokasi iaitu di Taman Aman dan Jambatan TAR serta Sungai Kedah di Kota Setar, manakala satu adalah Sungai Titi Kerbau di Pendang. – KOSMO! ONLINE