LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot bertegas ketika ini masih terlalu awal untuknya bercakap tentang kejuaraan walaupun pasukannya kembali memimpin carta Liga Perdana Inggeris selepas kalahkan Wolverhampton 2-1, awal pagi semalam.
Walaupun enggan terburu-buru untuk bercakap mengenai kejuaraan, Slot akui bangga kerana Liverpool terus memberikan persaingan sepanjang enam perlawanan awal.
“Rasanya bagus untuk kami berada di kedudukan ini tetapi ia belum menceritakan apa-apa lagi. Jika kami lihat, Wolverhampton berada di bawah tetapi mereka bermain lebih baik.
“Selepas 19 perlawanan saya akan beritahu sesuatu kepada kamu, bukannya sekarang dimana saingan baharu saja dimainkan enam perlawanan,” katanya.
Terdahulu, pemain pertahanan, Ibrahim Konate terlebih dulu membuka jaringan buat The Reds namun kembali disamakan oleh Raya Air-Nouri sebelum Mohamed Salah menyempurnakan penalti bagi mengesahkan kemenangan Liverpool.
Slot juga turut memuji rakan sejawatnya, Gary O’Neil yang berjaya menyediakan skuad terkuat hingga memberikan masalah kepada The Reds.
“Saya tidak fikir yang kami memulakan perlawanan dengan baik tetapi kami perlu berikan kredit kepada Wolves dan Gary O’Neil. Kami berdepan masalah pada 20 minit perlawanan sebelum kembali menguasai permainan,” ujarnya. – AGENSI