LONDON – Bintang muda sensasi Chelsea, Cole Palmer melakar sejarah baharu Liga Perdana Inggeris apabila berjaya meledak empat gol dalam tempoh 20 minit separuh masa pertama ketika pasukan itu menewaskan Brighton 4-2 kelmarin.
Kemenangan yang diraih di Stamford Bridge itu menyaksikan skuad kendalian Enzo Maresca berjaya meraih mata penuh untuk melonjak kedudukan ke tangga ketiga saingan ketika ini.
Pada perlawanan tersebut, The Blues terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan Georginio Rutter seawal minit ketujuh sebelum Palmer meledak empat gol dalam tempoh 20 minit tersebut dan Brighton meraih gol kedua menerusi Carlos Baleba.
“Saya mengenali Cole Palmer sejak beberapa tahun lalu ketika kami berada dalam skuad Manchester City bawah 23 tahun. Apa yang menarik mengenai Palmer adalah kejayaan tidak mengubah dirinya untuk terus memberikan yang terbaik.
“Anda sangat malang jika tidak melihat apa yang telah dilakukan oleh Cole. Dia menjaringkan empat gol, tetapi saya fikir dia mampu menjaringkan lebih banyak. Saya sering pesan kepada pemain supaya sentiasa memasang impian besar dan dahagakan jaringan,” kata Maresca.
Sejak tewas kepada Manchester City pada aksi pembukaan, Chelsea berjaya meraih 13 mata daripada lima perlawanan sekali gus memberi gambaran baik mengenai potensi pasukan itu di bawah kendalian Maresca.
Sementara itu, Palmer mengakui dia sepatutnya mampu melakar sejarah lebih hebat dengan menjaringkan lebih daripada empat gol berdasarkan peluang yang diperoleh sepanjang perlawanan tersebut.
“Saya sepatutnya menjaringkan lima atau enam gol. Apabila saya terlepas peluang pertama, saya agak sedih, tetapi saya sedar dengan cara Brighton bermain, saya memiliki peluang untuk menjaringkan gol.
“Pengurus telah merancang strategi yang sangat baik. Kami tahu bagaimana untuk menyerang dan kami berjaya meraih tiga mata yang penting,” jelasnya. – AGENSI