fbpx

‘Bukan semua orang hati batu, boleh bergurau kasar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Buli atas nama lawak masih berleluasa, sering kali melibatkan nama, fizikal, atau ciri yang di luar kawalan seseorang.

Jenaka seperti ini, walaupun nampak remeh, meninggalkan kesan mendalam terhadap keyakinan dan harga diri mangsa.

Perkongsian daripada Public Health Malaysia (PHM) di Facebook baru-baru ini mengingatkan tentang peritnya menjadi mangsa bahan jenaka yang melibatkan nama, fizikal, atau apa sahaja ciri di luar kawalan seseorang.

“Setiap inci tubuh kita, yang kita bawa ke mana-mana dengan rasa malu, tiba-tiba jadi sasaran tawa. Lawak ini bukan sahaja menoreh hati, tapi ia meninggalkan kesan yang mungkin kekal selamanya pada keyakinan, pada harga diri.

“Mereka yang menjadi bahan tawa atas bentuk badan, nama, atau tahi lalat bukan sahaja merasai malu, tetapi turut mengalami tekanan emosi yang kekal lama. Lawak seperti ini mencerminkan kekurangan empati dan seharusnya dihentikan,” ujarnya.

Gambar yang dimuat naik oleh PHM di Facebook.

Bukan itu sahaja, PHM turut menegaskan bahawa perasaan empati bukanlah sesuatu yang susah.

“Setiap kali ingin melontarkan jenaka, bayangkan bagaimana rasanya jika kita sendiri menjadi sasaran hinaan atas sesuatu yang kita tidak boleh ubah,” katanya.

Sementara itu, orang ramai membanjiri ruangan komen hantaran tersebut rata-rata bersetuju dengan kenyataan PHM.

“Memang kalau kena buli tu memang sakit hati. Sebab tu aku memang tak suka orang yang suka merendah-rendahkan orang lain atau orang yang suka buli orang lain sebab dulu aku pun pernah merasai juga zaman budak-budak,” luah Nurul Farhana.

“Peringatan untuk diri sendiri. Bukan semua orang hati batu yang boleh bergurau kasar dengan kita,” komen Mary.

“Orang yang tidak bertamadun sahaja masih berperangai macam ni,” kata Donna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI