fbpx

Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ ancam serang kuil dijel 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan termasuk mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mahadi Mamat, 39, di akhir kes pembelaannya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan ketujuh diikuti penjara enam tahun untuk pertuduhan keenam, manakala penjara lima tahun bagi pertuduhan kelima, keenam dan kelapan.

Hukuman itu diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Mei 2019.

Dalam penghakimannya, Hakim Noorin berkata, walaupun tertuduh mempunyai skizofrenia atau gangguan mental, namun lelaki itu waras semasa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

“Oleh demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan di luar keraguan munasabah terhadap kelapan-lapan pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh. Tertuduh didapati bersalah atas kesemua pertuduhan itu,” katanya.

Penghakiman lanjut turut menyatakan mahkamah berpuas hati tertuduh gagal membuktikan ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal mengikut undang-undang) selain berpuas hati dengan keterangan yang diberikan saksi pembelaan kedua berkaitan keadaan mental tertuduh.

“Setelah meneliti mesej WhatsApp dengan ahli-ahli kumpulan ‘Group Sejati Sejiwa’ saya mendapati tertuduh faham dan tahu akibatnya selain melihat cara tertuduh memujuk ahli-ahli kumpulan WhatsApp untuk bersama-sama beliau,” kata hakim itu.

Terdahulu, peguam Farida Mohammad memohon hukuman ringan dengan mengambil kira isteri tertuduh yang mempunyai Sistematik Lupus Eritematosus (SLE) selain tiada pekerjaan tetap. Sebelum ditangkap, anak guamnya bekerja di kebun sawit.

“Keutamaan adalah untuk memulihkan tertuduh dari segi memberi kaunseling dan perubatan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sendiri.

“Hasil tunjuk arah tertuduh menjumpai pistol dan paip bom. Ini menunjukkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, dan mengancam untuk membunuh empat individu warganegara Malaysia, melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas.

Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kelapan pula, Mahadi didakwa memilik item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, kira-kira 5.45 petang, 7 Januari 2019 dan 5 Mei 2019, pukul 9.48 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI