fbpx

Banjir: Pampasan padi rosak RM876 hingga RM1,800 setiap hektar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD menyampaikan bantuan bakul makanan kepada petani terjejas di bawah pejabat PPK Mada C-3 Tajar di Langgar, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melakukan kajian menyeluruh tentang kerugian yang ditanggung petani ekoran banjir yang merosakkan tanaman itu di negeri ini, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kawasan penanaman padi di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terutama di Kedah paling teruk terjejas dengan keluasan 5,915 hektar yang melibatkan 1,500 petani.

Menurut beliau, kadar pampasan yang diberikan adalah tertakluk kepada usia padi dengan anggaran bantuan bermula daripada RM876 hingga RM1,800 setiap hektar.

“Banjir tahun ini luar daripada jangkaan pihak penanam padi yang menjangkakan ia berlaku pada Oktober, tetapi sebaliknya pertengahan September ketika padi sedang masak dan banyak yang tenggelam.

“Lebih kurang 6,000 hektar jadi pihak kementerian akan buat kajian menyeluruh tentang kerugian dengan bantuan agensi lain termasuk yang menjaga pengairan supaya kita dapat angka sebenar.

“Bancian awal sudah dapat dan bantuan-bantuan awal ini akan disalur dengan secepat mungkin kerana banjir melibatkan kawasan jelapang padi yang harus diambil perhatian khas untuk memulihkannya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Bakul Makanan Madani kepada petani terjejas di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA C-3 Tajar di Langgar, di sini hari ini.

Daripada segi keseluruhan, ujar Mohamad, sebanyak 2,074 pesawah, petani dan penternak di utara semenanjung terjejas akibat banjir dengan kerugian mencecah sehingga RM40 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI