KOTA BHARU – Pemandu lori, Muhamad Zaimi Shariff, 39, yang maut dalam nahas melibatkan tujuh buah kenderaan di Bentong, Pahang hari ini sempat berpesan kepada isteri supaya menjaga anak tunggal mereka sewaktu membuat panggilan telefon kali terakhir.
Kejadian itu mengorbankan Muhamad Zaimi, dan anak saudaranya, Muhamad Azizul Fitrie Md. Zairi, 23. Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Isterinya, Khairon Azreen Mohamad, 28, berkata, arwah suami dan anak saudaranya itu bertolak ke Kuala Lumpur kelmarin untuk menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan.
Menurutnya, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke negeri ini.
“Saya sempat berbual selama satu jam 30 minit dengan arwah suami menerusi panggilan telefon pada pukul 2.30 pagi.
“Saya sempat bercakap dengan arwah suami buat kali terakhir. Dia berpesan kepada saya supaya menjaga anak tunggal lelaki kami yang berusia enam bulan, rumah, kereta dan motosikal miliknya.
“Kami ada bercakap menerusi panggilan video petang semalam. Dia (arwah suami) beria-ia mahu melihat wajah anak tunggal kami. Bayi ini merupakan anak pertama kami selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Durian Pahit, Ketereh di sini hari ini.
Khairon Azreen memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa suami dan anak saudaranya selepas dihubungi abang ipar, Md. Zairi, 48, yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan semasa menyertai konvoi kenderaan pacuan empat roda.
Jenazah suaminya dijangka tiba di Kelantan petang ini dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buloh Poh, Ketereh malam ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan tiga maut, manakala lima yang lain cedera dalam kejadian kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 42, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini awal pagi tadi.
Kejadian pada pukul 4 pagi itu turut menyebabkan sebuah treler musnah 100 peratus akibat terbakar. Selain Muhamad Zaimi dan Muhamad Azizul, seorang lagi mangsa yang terkorban ialah Mohd. Ridzuan Zulkafly, 36. – KOSMO! ONLINE