ISKANDAR PUTERI – Lebih 200 pemain golf tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam kejohanan kelayakan Pro-Am di Kelab Golf Senibong, menjelang perasmian Ekspo Golf Johor 2024 (JGE2024), yang akan berlangsung bulan hadapan.
Pengarah Urusan Champions Golf, Matthew A. Murray berkata, 15 pemenang daripada pusingan kelayakan ini berpeluang bermain golf bersama pemain golf profesional dalam perlawanan akhir yang dijadualkan pada 19 dan 20 Oktober ini.
Menurutnya, pemain golf profesional terbaik akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM40,000, manakala pemain amatur pula akan merebut hadiah bernilai RM14,000.
“Kejohanan Pro-Am menampilkan format unik di mana pemain golf profesional dan amatur bermain bersama dalam pusingan yang sama.
“Kejohanan ini menjadi antara tumpuan JGE2024, yang bertujuan mempertingkatkan aksesibiliti golf kepada orang ramai di Johor dan menyatukan pihak berkepentingan bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi golf terkemuka,” katanya kepada pemberita semalam.
Murray berkata, selain Pro-Am, ekspo ini juga akan mengadakan pelbagai aktiviti dan acara menarik seperti MGA Junior Open dan Siri Pro-Am Kelab Wanita.
Tambahnya, JGE2024 yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) melalui anak syarikatnya, KPRJ Sports Sdn. Bhd. turut akan menganjurkan Family Fairway Fun Festival pada 13 Oktober, sebelum acara kemuncak pada 18 Oktober.
“Pengunjung boleh menantikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk footgolf, Fairway Fun Zone, trak makanan, pencarian harta karun, dan banyak lagi.
“Selain itu, JGE2024 juga menampilkan pameran dan seminar dengan lebih 70 pempamer daripada pasaran tempatan dan antarabangsa, mempamerkan peluang perniagaan dan inovasi terkini dalam industri golf,” katanya.
Katanya, JGE2024 merupakan aspirasi untuk menjadikan Johor sebagai destinasi utama bagi peminat golf dan profesional industri.
Jelasnya, acara ini dijangka menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor hospitaliti, runcit dan pengurusan acara tempatan Dengan menjurus kepada usaha meningkatkan kesedaran tentang golf dan manfaatnya.
“JGE2024 berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini. Pada acara tersebut, para hadirin boleh mengunjungi pameran yang disertai lebih daripada 85 pempamer, yang turut memperkenalkan inovasi terkini berkaitan produk golf dan rekreasi.
“Selain mewujudkan peluang pekerjaan, JGE2024 juga bertujuan merangsang perniagaan tempatan dengan menarik pengunjung dari dalam dan luar negara,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE