fbpx

‘Walaupun OKU, Rosman anak murid yang baik, bertanggungjawab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhidayah menunjukkan gambar kenangannya bersama Allahyarham Muhammad Rosman ketika ditemui di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang semalam.

KUALA NERANG – Seorang guru menangis teresak-esak selepas mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang dihanyutkan arus deras bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan, di sini ditemui kira-kira pukul 5.25 petang, semalam.

Menurut Norhidayah Shaari, 40, dia tidak dapat menahan kesedihan kerana sudah enam tahun mengenali dan mengajar Allahyarham Muhammad Rosman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap.

“Sebaik sahaja saya sampai di lokasi, saya tengok tempat Rosman dan ibunya hilang sambil sebut beberapa kali Rosman timbullah, timbullah walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan Muhammad Rosman dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan arus deras pada pagi semalam.

“Saya nampak dua beranak itu naik motosikal semasa saya mahu ke sekolah untuk tengok projek cendawan. Dalam hati saya berkata awalnya dua beranak ini keluar tanpa memikirkan perkara lain.

“Tidak lama kemudian saya diberitahu Rosman dan ibunya dihanyutkan arus deras banjir,” ujarnya.

Jelasnya, Muhammad Rosman merupakan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Padang Terap.

“Walaupun Rosman seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi dia sangat baik dan bertanggungjawab. Arwah patuh segala arahan yang diberikan.

“Saya berhasrat untuk bantu dia menduduki Sijil kemahiran Malaysia (SKM), selain mencari pekerjaan buatnya kelak, namun semuanya tidak kesampaian,” jelasnya.

Tambahnya, arwah juga sangat rapat dengan ibunya dan sentiasa kelihatan berdua.

Kosmo! Online semalam melaporkan dua beranak iaitu Salmah dan Muhammad Rosman hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Mereka dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI