PETALING JAYA – Detik pilu sebuah keluarga menyaksikan kediaman yang menjadi tempat berlindung selama 60 tahun dirobohkan sehingga mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik Syahida Eliana di Facebook, wanita itu menunjukkan ahli keluarganya berdiri di hadapan rumah tersebut melihat jentera merobohkan kediaman yang menyimpan kenangan mereka sekeluarga.
“Rumah yang dibina oleh arwah Tok Cik (Atuk) dan moyang saya, kini hanya tinggal memori selepas mereka meninggal dunia. Semua anak mempunyai kehidupan dan rumah masing-masing,” katanya.
Syahida meluahkan ucapan terima kasih yang mendalam atas kenangan indah yang dibina di rumah tersebut dan percaya kehidupan di akhirat kelak akan menyatukan mereka semula.
“Terima kasih Ya Allah atas rezeki tempat berteduh selama 60 tahun untuk keluarga juga untuk peluang yang diberikan kepada dua cucu perempuan menerima didikan dan menumpang berteduh di bawah kasih sayang mereka.
“Selamat tinggal istana dunia, selamat datang istana akhirat di Syurga Allah,” luahnya.
Video berdurasi tiga minit itu turut memaparkan ahli keluarga berpelukan dan menangis.
Rata-rata orang ramai berdukacita dan memahami perasaan sukar untuk melepaskan kediaman yang sarat dengan kenangan.
“Terima kasih share (kongsi) sekurang-kurangnya yang tengok rasa menghargai apa yang ada sekarang. Semua benda tidak kekal,” ujar Shima.
“Suatu ketika dulu rumah ini penuh dengan kasih sayang. Penuh dengan suka ria dan meriahnya. Pelbagai kenangan tercipta tapi sayang. Sedih sangat bila nak dirobohkan,” komen Siti Afzan.
“Sebaknya tengok mereka berpelukan. Ya Allah, turut menangis,” kata Huda Norzilawati. – KOSMO! ONLINE.