PUTRAJAYA – Malaysia komited dan bersedia menggalas tugas sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan mengemudi ASEAN dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan aspirasi global, dasar inklusif dan didorong oleh rakyat serta mekanisme berorientasikan masa depan.
“Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Kami sedar untuk menguatkan semula ASEAN sebagai pemimpin rantau Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat, semalam.
Selain itu, Mohamad menegaskan antara lain, keutamaan menangani ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan turut diutamakan.
Katanya, pelbagai pihak mesti bersama-sama mengejar visi Laut China Selatan sebagai zon keamanan, kestabilan, dan kerjasama.
“Justeru, saya menyeru semua negara untuk mematuhi UNCLOS (Undang-Undang Laut 1982) dalam menjalankan tadbir urus maritim.
“Kita mesti mengutamakan kewujudan bersama secara aman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE