fbpx

Sempat selamatkan dua rakan sebelum lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemukan pada kedalaman 1.5 meter di lubuk kawasan perkelahan Pasir Puteri Sungai Lembing di Kuantan.

KUANTAN – Kegembiraan enam pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berkelah di kawasan perkelahan Pasir Puteri Sungai Lembing di sini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa Mohammad Amirul Fahmi Saiful,18, sempat menyelamatkan dua rakan perempuannya yang hampir lemas selepas dihanyutkan arus deras sebelum mangsa hilang dan ditemukan lemas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal semasa kejadian mangsa bersama dua lagi rakannya mandi di kawasan lubuk yang mempunyai kedalaman kira-kira 1.5 meter.

“Semasa sedang mandi dua rakan perempuan mangsa telah dihanyutkan air dan hampir lemas menyebabkan mangsa bertindak menyelamatkan dua rakan perempuannya itu sebelum kedua-dua rakan mangsa itu berjaya dibawa ke tepi sungai dengan turut dibantu rakan lelaki mangsa yang lain.

“Namun apabila rakan lelaki mangsa menoleh ke arah mangsa mendapati mangsa telah hilang dan dikhuatiri lemas,”katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari dengan bantuan anggota bomba bersama orang awam operasi pencarian dilakukan hampir sejam di kawasan lubuk berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya ditemukan pada pukul 12.20 tengah hari pada kedalaman 1.5 meter dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas.

Beliau memberitahu mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pemeriksaan ke atas fizikal mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan atau tanda tindakan kekerasan atau jenayah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI