fbpx

‘Saya okey kisah peribadi jadi bahan lawak selagi tak melampau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Sarah terbuka kisah peribadinya jadi konten kumpulan Gebu dalam Muzikal Lawak Superstar.- FOTO SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana tidak kisah menggunakan kisah peribadinya sebagai bahan lawak kumpulan Gebu yang dianggotainya dalam program Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4).

Menurut Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, dia menerima dengan hati terbuka selagi kandungan lawak tidak berlebih-lebihan dan orang ramai boleh menerima komedi yang dibawakan kumpulan itu.

“Biasanya kami akan berlatih dan rasanya tidak keterlaluan sangat, cuma sikit-sikit. Saya okey saja sebab tak berlebih-lebihan dan orang pun ketawa.

“Orang pun tahu, itu lawak saja. Produksi juga ada berikan beberapa had dan batasan,” kata bekas isteri pengarah dan pelakon Syamsul Yusof itu.

Dalam pada itu kata Sarah, ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail yang hadir pada minggu pengenalan MLS4 minggu lalu  turut terhibur dengan persembahannya bersama dua anggota Gebu iaitu Mamak Puteh dan Ilham Abata.

“Mama datang hari pertama, dia ketawa. Mama terhibur dan saya sudah maklumkan kepadanya.

“Malah, rakan sekumpulan saya iaitu Mamak Puteh serta Ilham Abata pun telah mohon maaf dan mama kata okey sebab dia pun terhibur juga,” katanya.

Tambah Sarah, minggu ini, kumpulan Gebu akan membuat kejutan dengan menampilkan seorang tetamu jemputan.

“Malam ini adalah minggu persembahan yang istimewa sebab ada seorang tetamu jemputan yang anda semua mesti tidak sangka siapa dia,” katanya yang ditemui pada majlis pelantikan Abby Abadi sebagai duta produk Berryfull Honey Lemon semalam.

Sementara itu, Sarah memberitahu dia gembira terlibat dalam program MLS4 kerana dapat menonjolkan sisi berbezanya kepada penonton.

“Melawak bukan mudah kerana perlu kreatif dan spontan. Awal-awal saya sudah beritahu Mamak Puteh dan Ilham Abata yang saya tidak akan memperbodohkan diri sendiri.

“Cukup dengan dialog yang lucu sudah boleh buat orang ketawa. Walaupun susah, saya rasa tenang dan banyak ketawa. Mungkin selepas ini akan banyak berlakon karya komedi pula, mana tahu,” ujar Sarah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI